Sunday, September 22, 2024

Marilah Merasakan Diri Kita Sebagai Wanita yang Hebat

Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, saya sering melihat di newsfeed TikTok pelbagai kisah isteri yang kecewa dengan suami. Saya yakin, ramai wanita di luar sana mungkin ada merasa kekecewaan dalam perkahwinan masing-masing. Namun, mengapa kita kecewa? Kekecewaan itu lahir kerana kita berharap, dan apa yang kita harapkan tidak menjadi seperti yang kita inginkan.

Memang bertuah jika ada suami yang membantu isteri dalam segala urusan – dari aspek kewangan, anak-anak, nafkah, dan sebagainya – serta menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Tetapi, bagaimana pula jika suami kita memiliki kekurangan? Di sinilah kita perlu menjadi wanita yang hebat. Allah hadirkan pasangan kita dengan satu tujuan – untuk mengajar kita sesuatu. Allah ingin menguji tahap kesabaran kita sebagai isteri, serta menunjukkan pelbagai hikmah di sebalik ujian tersebut.

Jadilah wanita yang hebat. Isteri dan ibu yang hebat. Sebagai isteri, simpan segala hal peribadi rapat-rapat sebagai rahsia kita dan pasangan. Jika ada masalah, mengadulah kepada Tuhan. Kita hanyalah manusia, pasti ada rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Suarakan perasaan kita kepada pasangan dengan cara yang baik. Jika pasangan bersikap acuh tak acuh, luahkan segalanya kepada Allah. Dialah tempat terbaik untuk mengadu dan meminta pertolongan.

Perkahwinan sememangnya menuntut pengorbanan. Saya masih ingat ketika suami saya sedang menyambung pelajaran dalam bidang kepakaran, kami tinggal berjauhan. Saya di Kuala Pilah, dan suami berpindah-randah di hospital-hospital lain. Ketika itu, kami sudah dikurniakan dua orang anak, dan segala urusan anak-anak saya uruskan sendiri. Setiap hari Jumaat, saya akan memandu bersama anak-anak untuk melawat suami. Malah, ada pesakit yang menganggap saya janda kerana sering melihat saya berseorangan dengan anak-anak.

Saya juga masih ingat detik kelahiran anak pertama kami. Sewaktu itu, kandungan sudah mencecah 40 minggu 5 hari. Selepas bekerja seharian di klinik, saya sambung pula locum hingga jam 10 malam. Tiba-tiba, saya rasa ada kebocoran air ketuban, tetapi saya masih tenang. Saya menghubungi kakak ipar saya, seorang doktor di Hospital Melaka, yang kemudian memeriksa saya dan mendapati cecair amnion tinggal sedikit. Saya segera diinduce pada malam itu, tanpa suami di sisi. 23 jam saya menahan sakit bersalin, dan hanya beberapa jam sebelum pembedahan kecemasan, barulah suami saya tiba di hospital. Alhamdulillah, anak pertama kami lahir dengan selamat, walaupun sempat demam dan disyaki ada jangkitan di otak. Ketika itu, doktor mengesyaki ada kuman di otaknya dan anak saya yang baru berusia seminggu perlu menjalani ujian mengambil air sumsum tulang belakang (lumbar puncture). Saya yang masih dalam kesakitan selepas pembedahan, tidak dapat berehat sepenuhnya kerana suami perlu segera kembali bekerja dan tidak dapat mengambil cuti tambahan kerana sedang menyambung pelajaran pakar. Setiap hari, saya gagahkan diri untuk berjalan dari wad saya ke NICU untuk melawat bayi saya dan menghantar susu kepadanya, walaupun luka pembedahan masih belum sembuh. Alhamdulillah, selepas semua ujian tersebut, anak saya sihat hingga ke hari ini.

Ketiga-tiga anak saya saya susukan sepenuhnya. Anak pertama saya disusukan sehingga usia 2 tahun, anak kedua sehingga 2 tahun setengah, dan yang bongsu sehingga 4 tahun. Walaupun penat, saya tetap gigih. Saya bekerja pada waktu siang, pulang menguruskan anak-anak, dan sepanjang malam bangun untuk menyusukan mereka. Walaupun tidur malam sering terganggu, saya yakin wanita yang hebat adalah wanita yang cekal menghadapi cabaran seperti ini. Alhamdulillah, berkat kesabaran, saya dapat melalui semuanya dengan baik.

Anak bongsu saya lahir pada 31 Januari 2020. Sebulan selepas itu, ibu mertua saya pulang kepada Penciptanya pada Februari 2020. Tidak lama kemudian, pada Mac 2020, bermulalah zaman COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, kami para doktor masih perlu bergerak kerana kami diwajibkan untuk terus bekerja. Pada masa itu, suami saya yang bekerja di bidang anestesia perlu bertugas di ICU merawat pesakit COVID-19. Kerja beliau memerlukan kuarantin selama dua minggu setiap kali berlaku kontak rapat, menjadikan hidup kami semakin mencabar. Saya pula bekerja dalam unit primer, menguruskan kes-kes COVID-19 di negeri Selangor. Dengan tanggungjawab yang semakin berat, saya akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerja di KKM pada penghujung 2021. Suami saya tidak bersetuju pada mulanya, tetapi saya nekad kerana anak-anak saya membesar tanpa ibu dan ayah di sisi.

Selepas saya membuka klinik sendiri, rutin harian saya menjadi lebih mencabar. Saya tiada pembantu rumah, dan segala urusan anak-anak saya uruskan sendiri. Setiap hari, saya hantar anak ke sekolah, ambil mereka, bawa mereka ke kelas, dan uruskan rumah serta klinik pada masa yang sama. Walaupun penat, saya tidak pernah berputus asa.

Kini, pada tahun 2024, selepas 2 tahun 3 bulan ...klinik saya semakin maju. Suami saya sering bertanya tentang rancangan untuk membuka cawangan klinik kedua, melihat kepada perkembangan yang positif.

Rutin harian saya masih bermula seawal jam 5 pagi, dan biasanya hanya berakhir pada pukul 12 atau 1 pagi keesokan harinya. Selepas beberapa jam tidur, saya bangun semula pada pukul 5 pagi untuk memulakan hari yang baru. Saya akan memasak dan menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak yang bersekolah di sekolah Cina sebelum terus ke klinik. Sampai di klinik, saya akan tidur sekejap selama 1 jam di dalam kereta sementara menunggu klinik mula pada pukul 8.30 pagi. Staff saya sudah terbiasa melihat saya tidur dalam kereta setiap pagi. haha habis urusan klinik, sampai waktu ambil anak.. saya akan keluar ambil mereka dan siapkan mereka untuk ke kelas tambahan atau kelas mengaji, atau kelas kelas lain seperti art class, AI class, kelas computer dll. Saya target, anak-anak saya akan belajar ilmu soft skills, ilmu pengurusan kewangan dan ilmu mempertahankan diri tidak lama lagi. Kemudian, saya akan hantar mereka menghafal alquran di samping belajar ilmu proffesional utk bekalan dunia. Saya juga akan mempersiapkan mereka agar menjadi orang yang berakhlak mulia dan meletakkan Allah pertama dihati mereka dan sentiasda bersyukur serta menghargai setiap benda dalam hidup mereka.. InshaAllah

Alhamdulillah, dengan adanya doktor-doktor lain yang bekerja membantu saya, saya kini dapat membahagikan masa dengan lebih baik antara keluarga, klinik, dan diri sendiri.

Menjadi wanita yang hebat bukanlah mudah. Rasailah dan hargailah diri anda sebagai wanita yang super hebat. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri, hidup di dunia ini memang penat. Namun, nikmatilah kepenatan itu kerana satu masa nanti, Allah akan gantikan kepenatan kita dengan syurga. Biarlah kita bersusah payah membesarkan anak-anak sekarang, daripada bersusah di kemudian hari melayan karenah mereka akibat kita abaikan tanggungjawab mendidik mereka dengan agama dan ilmu sewaktu mereka masih kecil. Setiap pengorbanan yang kita lakukan hari ini adalah untuk masa depan mereka, dan Allah tidak akan sia-siakan kesabaran kita. Allah akan balas segala-galanya dengan sesuatu yang indah jika kita berjaya lepas dari ujiannya. Memang dunia ni kan tempat kita diuji? Jalani aja....

No comments:

Post a Comment